Jumaat, 24 Disember 2010

Arsenal Paling Bahaya

PEMAIN sayap Manchester United, Nani  menganggap Arsenal sebagai pencabar paling getir berbanding Chelsea musim ini.
Gunners berkunjung ke Old Trafford Isnin ini (awal pagi Selasa waktu Malaysia) berusaha untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris.
United sedar kemenangan di gelanggang sendiri membolehkan mereka kembali merampas tangga teratas, ketika mereka ada kelebihan kerana bermain kurang satu perlawanan berikutan penangguhan perlawanan menentang Blackpool di gelanggang lawan minggu lalu.

Ia menjanjikan perlawanan yang menarik dan Nani percaya ia mampu menghadirkan ujian paling sukar terhadap impian United membolot trofi.
"Arsenal kini menjadi pencabar yang lebih berbahaya berbanding Chelsea," katanya.
"Chelsea kalah beberapa perlawanan selain seri dan keyakinan mereka kelihatan terlalu kendur.

"Tapi Arsenal terus mencatat kemenangan dan berada di puncak liga memberikan anda keyakinan tinggi." Kelab gergasi utara London itu kalah tiga kali di gelanggang sendiri musim ini.
Bagaimanapun, di luar Emirates mereka berjaya mencatat kemenangan mengagumkan, termasuk kejayaan mengatasi Manchester City, Everton dan Aston Villa baru-baru ini, ketika United gagal mengalahkan tiga pasukan itu di tempat lawan.

"Arsenal bertindak cemerlang. Mereka semakin matang seperti kami," kata bintang Portugal itu.
Dengan Samir Nasri, Gunners memiliki pemain yang berada di puncak prestasinya dan tidak diragui pemain paling berpengaruh di liga utama ketika ini.
"Nasri adalah pemain paling penting dalam pasukan Arsenal," kata Nani.
"Dia amat berbahaya buat kami dan kami perlu mengekangnya." Arsenal mungkin berasakan perasaan sama mengenai pemain sayap United yang penuh berkeyakinan itu.
Larian Nani menjadi pemusnah buat pasukan Arsene Wenger pada perlawanan terakhir kedua-dua pasukan Januari lalu ketika United meneruskan rekod tanpa kalah ke atas Arsenal kepada empat perlawanan.
"Saya suka bermain menentang Arsenal," katanya.
"Adalah bagus menentang mana-mana pasukan besar tapi saya sudah bertindak baik menentang mereka sebelum ini.
"Cara mereka bermain memberikan anda peluang untuk mempamerkan kualiti anda." Ia adalah perlawanan liga pertama United sejak meledak tujuh gol mengatasi Blackburn Rovers hampir dua minggu lalu, keputusan yang dirasakan Nani sebagai membuktikan Red Devils kembali ke tahap terbaik.
"Rentak kami semakin meningkat," katanya.
"Pemain seperti Wayne Rooney dan Anderson mula bermain dengan fantastik.
"Ia bagus kerana dua perlawanan berikutnya amat penting buat kami.
"Jika kami menang ke atas Arsenal dan Chelsea, kami akan berada pada kedudukan amat baik untuk memenangi liga."

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...