Jumaat, 24 Disember 2010

kurang Menyengat

FLORENT Malouda menganggap pasukan lawan tidak lagi gerun dengan Chelsea berikutan masalah dihadapi kelab London itu sejak akhir-akhir ini.
The Blues menikmati permulaan memberangsangkan musim ini, memenangi semua enam perlawanan pertama dalam semua pertandingan dan menjaringkan banyak gol.
Bagaimanapun, sejak itu gol sudah mula kering dan anak buah Carlo Ancelotti mengalami tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Mereka juga dipaksa bekerja keras di laman sendiri dengan MSK Zilina dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah Selasa lalu, dengan gol pada babak kedua menyelamatkan maruah mereka melakar kemenangan 2-1 dan memastikan muncul juara kumpulan.
Malouda berkata: "Adakah kami sudah tidak digeruni lagi? Ya.
"Mungkin pasukan lain lebih berkeyakinan apabila mereka hadir di sini.

"Ketika ini kami berdepan terlalu banyak kecederaan dan adalah sukar buat kami secara fizikal dan mental. Inilah saatnya musim ini apabila perlawanan lebih sukar.
"Anda boleh pulih dengan lebih baik selepas satu kemenangan, lantas saya amat gembira apabila kami mengalahkan Zilina. Inilah saatnya apabila pemain terpaksa tampil dan mempamerkan kualiti sebenar mereka." Ketika semuanya tidak begitu menjadi buat Chelsea ketika ini, Salomon Kalou yakin persembahan akan meningkat sekiranya pemain seperti ketua pasukan John Terry dan Frank Lampard kembali pulih dan boleh diturunkan semula.

Penyerang Ivory Coast itu berkata: "Apabila pemain yang cedera kembali mereka akan menampilkan bersama pengalaman.
"Ini akan mengembalikan semula keghairahan pemain apabila dia sudah tidak bermain sekian lama." Kalou menegaskan semua spekulasi di luar padang dan pemergian penolong pengurus Ray Wilkins tidak banyak menjejaskan mereka.
"Ia bukannya sesuatu yang pelik buat kami," kata Kalou. "Setiap perkara tetap sama. Kami berlatih seperti biasa.
"Chelsea sebuah kelab gergasi. Apabila ada yang tidak kena, kami perlu fokus dan tidak menumpukan kepada perkara lain di luar padang.
"Hujung minggu ini menentang Newcastle adalah satu perlawanan besar. Kami kembali menemui rentak kemenangan dan kami perlu teruskan. Hujung minggu ini pasti satu perlawanan yang bagus buat kami." Chelsea mencipta 60 percubaan pada perlawanan mereka menentang Birmingham City dan Zilina tetapi hanya mampu menjaringkan dua gol, namun Kalou menegaskan mereka tidak begitu tertekan dengan kemarau gol.
"Memang ada saat-saat sebegini pada satu-satu musim - setiap pasukan ada turun naik dan ketika ini semuanya tidak seperti yang kami mahukan," akui Kalou.
"Namun kami perlu bekerja keras. Kami mencipta banyak peluang kali terakhir di Birmingham dan kami perlu mula menjaringkan gol dari sekarang." Chelsea kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris dengan hanya perbezaan gol berbanding Manchester United dan kunjungan mereka ke Newcastle, yang diratah Bolton Wanderers 5-1 hujung minggu lalu, memberikan peluang sempurna buat mereka untuk menamatkan masalah mereka di depan gol lawan.

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...